ALOR SETAR, 14 Okt – Sekumpulan individu, yang menggelarkan diri mereka sebagai Badan Bertindak Selamatkan Kedah, mendesak Ketua Pemuda Umno Kedah Badrolhisham Hashim meletak jawatan kerana didakwa tidak menjalankan tugas dengan baik untuk menangani beberapa isu dan mendekati pengundi muda atas pagar.
Pengerusi badan itu Sobri Sudin berkata desakan itu dibuat kerana mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan Badrolhisham yang gagal mengemudi pergerakan pemuda dengan berkesan.
“Kalau betul nak menang dalam pilihan raya akan datang, mereka (Pemuda Umno) kena buat kerja betul-betul. Kita mahu mereka semua bergerak di semua bahagian. Jangan hanya pandai bercakap tetapi tidak buat kerja,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum supaya Badrolhisham meletakkan jawatan kepada Setiausaha Kerja Pemuda Umno Kedah Tahir Md Zain.
Sobri berkata badan bertindak itu turut mendesak Badrolhisham memilih sama ada mahu memegang jawatan Setiausaha Umno Bahagian Padang Terap atau Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri kerana mereka mahukan perhatian serius diberikan kepada pergerakan pemuda untuk meningkatkan momentum aktiviti.
“Kita mahu Pemuda dan Umno melaksanakan segera usaha secara besar-besaran untuk memulih, menggembleng dan meningkatkan semangat serta gerak kerja di semua bahagian untuk menjadi kumpulan pendesak lebih ramai bagi menentang dakyah PAS dan parti pakatan di Kedah,” katanya.
Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno Kedah Haris Che Mat berkata Pemuda Umno negeri menolak memorandum badan bertindak itu.
“Pemuda Umno berada di landasan yang baik untuk memimpin Kedah. Ini hanya satu permainan yang hanya diputarbelitkan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata sepatutnya badan bertindak berjumpa terus dan berbincang dengan pihak pengurusan secara baik, bukannya dengan cara menghantar memorandum seperti hari ini. – Bernama
0 comments