Presiden MCA Dr Chua Soi Lek sekali lagi mengulangi sikap prejudisnya terhadap Islam. Pada mesyuarat agung tahunan ke 57 parti itu di Kuala Lumpur kelmarin, Chua pada akhir ucapannya memperlihat salah faham beliau terhadap Islam dan prejudis beliau dengan menyerang Islam yang dibawa oleh PAS.
Katanya, "jika Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa di Putrajaya, PAS akan menerajui pakatan itu. PAS tidak akan lupa dengan pendiriannya membawa Islam yang bercorak autokratik. Jika PAS kembali berkuasa, parti itu akan memutar jam kembali ke belakang.
Itulah ucapan yang sering diulang-ulang oleh pemimpin nombor satu parti kedua terbesar Barisan Nasional bagi menakut-nakutkan para pengundi, tanpa mengira bangsa dan pegangan, supaya menjauhkan diri dari PAS.
Pada mesyuarat agung tahunan parti itu di Alor Setar, Kedah baru-baru ini, Chua juga menyuarakan perasaan prejudisnya terhadap Islam. Pada ketika itu beliau menyalahkan Islam yang mengakibatkan orang-orang Melayu berpecah belah dan menjadi lemah, khususnya di kalangan ahli-ahli Umno dan PAS.
Negara mundur ke belakang?
Sifir Chua sangat mudah. Jika PAS memerintah negara ini, dengan bantuan parti komponen DAP dan PKR maka dasar Islamnya akan membawa negara ini mundur ke belakang dari segi ekonomi dan pembangunan.
Chua menganggap Islam sebagai satu agama yang mundur dan menolak pembangunan. Negara akan jatuh miskin dan rakyat semakin susah.
Berbeza sungguh dengan pandangan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menyifatkan Islam sebagai sebuah agama yang universal, dinamik dan membawa kemajuan, bukan sahaja dari pembangunan ekonomi tetapi juga dari segi intelektual.
Malahan Guan Eng mencadangkan Pakatan Rakyat mencontohi pemerintahan Khalifah Omar bin Abdul Aziz yang memerintah dengan adil dan saksama pada zaman Kerajaan Bani Umaiyah.
Chua jelas tidak faham tentang kebangkitan Islam pada zaman Kerajaan Bani Abbasiah di antara tahun 750 hingga 1258 Masehi sebelum tentera-tentera Mongol menyerang Baghdad pada tahun 1258.
Zaman kegemilangan Islam
Tempoh pemerintahan Kerajaan Islam Abbasiah merupakan zaman kegemilangan Islam dan kemuncak kepada perkembangan ilmu, bukan sahaja di dunia Islam malahan ditimba oleh dunia Barat.
Pada ketika itulah munculnya tokoh-tokoh Islam yang masyhur seperti Ibnu Sina, Al Biruni, Al Farabi, Khawarizmi, Al Thabari, Jalaluddin Al Suyuti, Ibnu Kashir dan Ibnu Ataillah Al Asykandari dan ramai lagi.
Apa yang perlu difahami oleh Chua ialah kemunduran umat Islam di negara ini adalah akibat salah guna kuasa, termasuk oleh pemimpin-pemimpin Umno, yang berbangsa Melayu-Islam yang menerajui Barisan Nasional di negara ini.
Mereka merompak kekayaan negara dengan amalan rasuah yang berleluasa, pentingkan kroni dan keluarga, ketirisan kewangan, melaksanakan projek-projek berskala besar hingga menyebabkan khazanah negara menjadi kering kontang.
Dalam hal ini, eloklah Chua memperbetulkan moral dirinya sendiri terlebih dahulu sebelum mencerca agama Islam dan PAS kerana skandal seks beliau dengan seorang wanita masih disebut-sebut hingga menjadi hangat semula.
Sehinggakan sayap wanitanya sendiri mencerca beliau dengan menyatakan bahawa parti MCA tidak layak dipimpin oleh seorang yang rosak moralnya.
0 comments