Warisan Merdeka bukan idea saya - PM

Perdana Menteri, Najib Razak hari ini menafikan bahawa projek pembinaan Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat itu di tengah-tengah ibu negara adalah idea daripadanya. Projek berkenaan adalah dicadangkan oleh pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Malah, Najib menolak tanggapan bahawa beliau memaksa PNB untuk melakukannya kerana kesemua idea projek itu dibentangkan kepadanya oleh pihak lembaga pengarah dan pengurusan PNB sendiri.

Menara Warisan Merdeka yang dijangkakan siap pada tahun 2015 akan dibina berhampiran dengan Stadium Negara dan Stadium Merdeka. Menara berkenaan akan menjadi bangunan tertinggi di Malaysia menggantikan kedudukan Menara Berkembar Petronas.

Sejak Najib mendedahkannya semasa Bajet 2011 Jumaat lepas, projek menara RM5 bilion itu telah mendapat tentangan hebat daripada ahli parlimen pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan yang rata-rata mendakwa beliau mewujudkan menara itu bagi menandingi lagenda mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Menurut Najib, tujuan utama kebenaran diberikan kepada PNB bagi meneruskan hasrat tersebut adalah untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandaraya bertaraf dunia. Selain itu, menara itu boleh menjadi simbol kepada Malaysia yang moden dan maju.

Najib juga yakin pembinaannya akan mewujudkan kesan multiplier yang baik ke atas ekonomi dan menggalakkan penambahan peluang pekerjaan selain mewujudkan pusat komersil yang menarik untuk dunia perniagaan di Malaysia. Menurutnya lagi, projek ini tidak akan menjadi satu pembaziran tetapi satu manfaat yang berterusan bagi mencapai Wawasan 2020.
Tags: ,

Peringatan

Anda dibenarkan melontarkan pandangan, kritikan, pendapat dan lain-lain terhadap artikel di atas namun segala akibat merupakan tanggung jawab anda sendiri.

0 comments

Leave a Reply