KUALA LUMPUR, 11 Okt: Bekas kakitangan Felda, Khamis Saad hari ini mendedahkan bukti mengenai penipuan Felda dalam gred baja yang dibekalkan kepada peneroka.

Beliau yang juga Pengerusi Alumni Bekas Peneroka Felda berkata, baja yang dibekalkan oleh Felda telah dicampur dengan pasir menyebabkan kandungan aslinya berkurangan.
"Baja yang datang daripada Jerman yang dibekalkan kepada peneroka yang dibekalkan melalui syarikat-syarikat tertentu di Malaysia, kemudian dibungkus balik poleh Felda kemudian dicampur dengan pasir yang menyebabkan kualiti berkurangan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di parlimen hari ini yang diiringi Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.
Menurutnya, zat tambahan yang terdapat dalam baja asli dapat meningkatkan pengeluaran minyak sawit dan getah.
"Daripada saya bekerja daripada tahun 70-an sehingga 90-an inilah baja yang kami pakai yang tidak berkualiti menyebabkan pengeluaran tidak memuakan," katanya.
Menurut Mazlan pula, salah satu sebab peneroka enggan mengikuti program tanam semula dengan Felda adalah kerana faktor baja yang didedahkan itu.
"Kenapa salah satu sebab peneroka tidak mengikuti program tanam semula kerana Felda membekalkan baja yang sangat diragui kualitinya.
"Potongan yang dibuat sangat tinggi dalam setiap bulan lima hingga tujuh ratus untuk baja sahaja dan untuk setiap tahun tujuh hingga lapan ribu sedangkan hasilnya begitu rendah," kata beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.
Mazlan turut menyentuh isu wang tanam semula yang belum dilunaskan oleh Felda seperti yang dijanjikan kepada peneroka.
Turut bersama dalam sidang media itu ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli yang juga Bendahari PAS Pusat.

KUALA LUMPUR: Peneroka mengambil tindakan mahkamah ke atas Felda kerana pihak pengurusan tanah itu tidak melayan tuntutan peneroka supaya diberi hak mereka, kata presiden persatuan anak peneroka kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.
Beliau berkata, sudah jenuh peneroka berunding dengan Felda tetapi pengurusan Felda membuat sambil lewa sahaja.
"Kita mahu menyelesaikan secara rundingan tetapi, pengurusan Felda pula membuat endah tidak endah dan sambil lewa," katanya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.
Hadir sama ialah beberapa peneroka yang mendakwa mereka ditipu oleh pengurusan Felda.
Mazlan juga mendakwa beberapa kenyataan media yang dibuat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang bertanggungjawab terhadap Feldamengenai peneroka menimbulkan kemarahan peneroka.
"Antara kenyataan itu ialah kebun peneroka yang tanam sendiri jadi hutan, penuh dengan babi hutan, ular sawa, tikus dan kumbang. Duit RM17,000 peneroka beli motor, baiki rumah dan beli kereta.
"Felda tidak memberikan wang tanam semula kepada peneroka bagi mengelak wang itu disalahguna.
Mazlan berkata, berikutan kenyataan tidak bertanggungjawan Ahmad Maslan itu, lebih ramai peneroka akan membawa Felda ke mahkamah.
Sekurang-kurangnya 3,000 peneroka di Pahang akan menyaman Felda pada bila-bila masa.
"Adakah benar dasar Felda memberi kebebasan kepada peneroka untuk menguruskan kebun mereka secara persendirian? Felda larang peneroka urus sendiri tanam semula "Kalau tiada paksaan, mengapa Felda mengeluarkan pekeliling tidak membenarkan peneroka menguruskan tanaman semula secara persendirian?
"Kalau tiada paksaan, kenapa Felda ,mengeluarkan pekeliling ,mengugut peneroka agar mencabut anak kelapa sawit yang telah ditanam secara persendirian," tanya Mazlan.
Mazlan berkata, membuat tuduhan berasaskan kes terpencil kegagalan peneroka menguruskan kebun mereka hingga digambarkan seperti hutan yang penuh babi dan ular adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak wajar oleh seorang timbalan menteri.
"Beliau mesti menarik balik kenyataan yang mengguris hati lebih 14,000 peneroka yang mengurus kebun mereka secara persendirian.
"Jika tidak, laporan polis secara besar-besaran akan dibuat di seluruh negara," tambahnya.
Mazlan berkata, dalam masa tiga bulan Felda mesti membuat bayaran wang tanaman semula kepada peneroka yang belum mendapatnya.
Katanya, jika gagal, Anak akan mengatur rombongan peneroka terbabit dalam jumlah besar ke ibu pejabat Felda pada setiap minggu hingga tuntutan wang berjumlah RM17,000 diperolehi. Felda Gugusan Sungai Dusun Hulu Selangor yang dijanjikan mendapat wang tanam semula ketika kempen pilihanrya kecil April lalu sehingga sekarang Felda belum membayarnya.
Mazlan juga mendakwa ketika ini beberapa tanah rancangan Felda kecoh kerana tender membeli batang getah yang berbeza-beza oleh pihak kontraktor.